Shafa’atussara Silahudin
Published : 30-6-2026
Abstrak :
Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji ialah puisi klasik Melayu abad ke-19 yang mengandungi dua belas fasal dengan pasangan sebab dan akibat yang menekankan nilai moral, adab, akhlak Islam serta pembentukan karakter. Keunikan strukturnya dan penggunaan metafora, simile serta antitesis menjadikan Gurindam Dua Belas relevan sebagai sumber pendidikan budaya. Terdapat dua objektif kajian ini, iaitu pertama, mengenal pasti prinsip tradisi dan estetika dalam Gurindam Dua Belas; dan kedua, menilai potensi adaptasi artistik Gurindam Dua Belas dalam konteks persembahan kontemporari yang dapat meningkatkan penghayatan nilai dalam kalangan generasi muda. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif interpretatif melalui analisis teks Gurindam Dua Belas, temu bual separa berstruktur bersama penggiat-penggiat seni dan pemerhatian terhadap persembahan Gurindam Dua Belas. Pendekatan hermeneutik digunakan untuk mentafsir makna manakala Teori Puitika Sastera Melayu sebagai kerangka bagi menganalisis adaptasi artistik pementasan Gurindam Dua Belas. Instrumen kajian terdiri daripada temu bual dan senarai semak pementasan. Data dianalisis menggunakan analisis tema dan triangulasi. Dapatan menunjukkan bahawa inovasi dan integrasi teknologi visual, multimedia, muzik latar adaptif dan kolaborasi rentas disiplin dapat mengekalkan nilai tradisi sambil memperkukuh kreativiti persembahan. Kajian ini mengusulkan pendekatan pementasan adaptif yang seimbang antara tradisi dan pembaharuan, serta memberi implikasi kepada pengajaran sastera Melayu, pelestarian warisan dan pembangunan bentuk persembahan kontemporari berasaskan nilai budaya.
Kata kunci: estetika tradisi Melayu; gurindam Dua Belas; model persembahan adaptif; pelestarian warisan; pementasan kontemporari
Muat turun artikel penuh : 2289-5051_iJACH_Vol 15_Issue 3_Jun 2026
