Perutusan Pengarah PPPP

PERUTUSAN PENGARAH PUSAT PENYELIDIKAN, PERSIDANGAN DAN PENERBITAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

PUSAT Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2020. Penubuhan ini merupakan kesinambungan daripada unit penerbitan yang diwujudkan sejak penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada tahun 1994. Objektif pusat ini sangat berkait rapat dengan keperluan dan hala tuju yang lebih rencam ASWARA yang memerlukan skop fungsi yang lebih strategik dalam penyelidikan bidang seni, budaya dan warisan di negara ini dan peringkat serantau.

Kedudukannya sebagai premis utama kepada semua kegiatan penyelidikan, persidangan dan penerbitan hasil-hasil kajian seni, budaya dan warisan, pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam semua aktiviti penyelidikan, latihan kemahiran perkongsian keilmuan, penulisan dan penerbitan akademik dan kreatif. Sejak tahun 2021, Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan telah menerbitkan hampir 30 judul buku akademik dan kreatif dalam ketiga-tiga bidang tersebut.

Kelompok sasar utama kepada aktiviti-aktiviti ini pastinya tertumpu kepada kakitangan akademik dan pelajar ASWARA sebagai ruang dan peluang kepada mereka untuk menerbitkan tulisan-tulisan akademik dan bukan akademik. Antara ruang dan peluang yang ditawarkan oleh pusat ini ialah geran penyelidikan jangka pendek (12 bulan) sebagai permulaan dalam bidang-bidang tersebut yang diperkenalkan sejak 2022 dengan pembiayaan sepenuhnya oleh ASWARA.

Ruang lain yang ditawarkan kepada kakitangan akademi ASWARA, tenaga-tenaga akademik dari pusat-pusat pengajian tinggi tempatan dan luar untuk menerbitkan artikel-artikel kajian akademik dalam bidang seni, budaya dan warisan ialah jurnal The International Journal of Arts, Culture and Heritage (iJACH) yang diterbitkan setiap enam bulan, tanpa dikenakan sebarang yuran penerbitan.

Pada masa yang sama Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan ASWARA turut menjalin kerjasama dengan penerbit dari universiti awam lain dalam usaha untuk menimba pendekatan, pengalaman dan teknologi tertentu untuk digunapakai dalam bidang penerbitan dan pemasaran.

Dalam usia mencecah empat tahun, Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan terus melangkah ke hadapan dengan menambahbaik pelbagai aspek termasuk mewujudkan portal mySENI, iaitu pangkalan data yang memuatkan semua maklumat tentang hasil penyelidikan, produksi, persembahan, penerbitan, persidangan dan dokumentari seni, budaya, warisan serta sastera tanah air. Objektif utama mySENI ialah menjadikan ASWARA sebagai hub dan pangkalan data dalam bidang-bidang ini untuk digunakan oleh kakitangan akademik ASWARA, para penyelidik dan sarjana. Para pembaca juga boleh mendapatkan bahan-bahan terbitan pusat ini melalui pembelian di atas talian dengan mengakses bahagian pembelian.

Keberadaan mySENI akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa, khususnya aspek metadata (metacontent) dalam erti untuk membekalkan maklumat mengenai satu atau lebih aspek berkaitan sesuatu data, misalnya cara penciptaan data, tujuan, masa dan tarikh. Oleh itu, mySENI-ASWARA berfungsi sebagai repositori (repository) untuk menyimpan (archiving) pelbagai data, dokumen, maklumat hingga dapat ditakrifkan sebagai perpustakaan maya untuk semua hal yang berkaitan dengan seni, budaya dan warisan. Dalam pengertian lain, repositori perpustakaan maya mySENI adalah tempat menyimpan pelbagai maklumat dan data yang dapat diakses dan dimanfaatkan oleh ahli akademik, penggiat budaya atau para pemain industri kreatif.

Semoga keberadaan Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan menjadi pemangkin kepada hala tuju yang lebih kukuh kepada penyelidikan, persidangan dan penerbitan dalam bidang seni, budaya serta warisan untuk dimanfaatkan oleh semua pihak, terutama para pengkaji, sarjana, mahasiswa dan masyarakat secara keseluruhan

Dr. Azman Ismail
Pengarah Pusat Penyelidikan, Persidangan dan Penerbitan ASWARA