Hasrina Baharum, Nordiana Hamzah, Farra Humairah Mohd
Published : 30-6-2026
Abstrak :
Kajian ini bertujuan meneliti dan memugar kehebatan serta kepandaian masyarakat Melayu tradisional dalam pelbagai bidang ilmu melalui analisis teks sastera Melayu lama. Objektif kajian adalah untuk mengenal pasti dan menganalisis bentuk kearifan tempatan berdasarkan karya sastera Melayu lama (tradisional). Kajian ini berbentuk kualitatif dengan kaedah kajian kepustakaan dan analisis teks berasaskan falsafah Alam Terkembang Jadi Guru. Teks yang dianalisis meliputi beberapa buah karya terpilih seperti Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin, Hikayat Raja Pasai dan Undang-undang Laut Melaka dan juga yang diakses daripada pengkalan data Malay Concordence Project (MCP). Dapatan kajian menunjukkan bahawa teks-teks tersebut bukan sahaja menyimpan nilai budaya, adat resam dan falsafah hidup, tetapi juga membuktikan keunggulan masyarakat Melayu dalam ilmu kearifan tempatan Melayu meliputi ilmu falak dan navigasi, ilmu mengenal tapak landskap, ilmu menggubah landskap Melayu, ilmu bedil dan ilmu gajah berdasarkan hubungan yang akrab dengan alam. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa teks sastera Melayu merupakan repositori ilmu tradisional yang mempunyai nilai epistemologi, budaya dan saintifik yang dapat menyumbang kepada pengukuhan falsafah Alam Terkembang Jadi Guru sebagai kerangka ilmu kearifan tempatan; di samping membuka ruang integrasi warisan pengetahuan Melayu dalam penyelidikan interdisiplin dalam konteks kontemporari. Kesimpulannya, falsafah Alam Terkembang Jadi Guru menunjukkan bahawa teks sastera Melayu lama berperanan sebagai khazanah ilmu yang masih relevan dan wajar dibugar dan perkukuh dengan kajian lanjut untuk kegunaan masa kini dan masa hadapan.
Kata kunci: Alam Terkembang Jadi Guru, ilmu tradisional, identiti budaya, kearifan tempatan, sastera Melayu lama.
Muat turun artikel disini : 2289-5051_iJACH_Vol 15_Issue 6_Jun 2026
