Shamsudin Othman
Published : 30-6-2025
DOI : https://doi.org/10.62312/asw.ijach.13.6.2025
Abstrak
Anwar Ridhwan adalah Sasterawan Negara ke-10 (2009) dan karya-karya beliau sebelum ini merupakan karya yang tidak boleh dipertikaikan lagi mutunya. Kajian ini berpusatkan kepada analisi teks dengan analisisnya bersandarkan pendekatan kesusasteraan Islam, iaitu Model Rasa Insaniah ((MRI), DBP: 2023). Objektif kajian ialah ingin menganalisis cerpen Anwar Ridhwan bertajuk ‘Patah Melaka Berganti Perak’ (Anwar Ridhwan, Satu Tiga Sifar Lima, hlm. 190-270, DBP: 2012) dengan menjurus kepada sifat-sifat kepemimpinan berdasarkan tuntutan Islam. Kaedah pelaksanaan kajian ini dijalankan secara inkuiri berfokus, iaitu menjajarkan penekanan nilai-nilai Islam yang diintegrasikan oleh pendekatan MRI khususnya terhadap akhlak watak-watak dalam teks. Cerpen ini dipilih kerana muatan pemikiran sinisnya yang tajam dalam konteks kajian sosiobudaya Melayu-Islam serta bentuknya yang boleh berdiri sebagai sebuah novella. Cerpen ini mengisahkan sebuah kerajaan Melayu Melaka yang berhadapan dengan jungkir-balik politik tanah air hingga akhirnya berjaya memperlihatkan tamadun bangsa yang hebat apabila ciri-ciri politik Islam yang digagaskan oleh Islam itu didaulatkan. Oleh itu, cerpen ini dilihat telah berjaya mengupayakan persoalan keislaman yang tinggi dan MRI yang menjadi pemboleh ubah bersandar dalam tulisan ini dilihat dapat mempertalikan hubungan kritikan sastera dengan teks kreatif serta mengaitkan hubungan ciri-ciri insan khususnya pemimpin dalam melaksanakan siasah kenegaraan. MRI yang terdiri daripada tiga prinsip utama, iaitu (1) Pengabdian kepada Allah SWT, (2) Mengutamakan Pengucapan Beradab dan (3) Ketinggian Kehalusan Makna yang dilihat amat sesuai untuk dijadikan sandaran bagi mengupas cerpen ini. Dapatan kajian ini memperlihatkan bahawa cerpen ini berjaya memenuhi tuntutan ‘Rasa Takwa’ seperti yang termaktub dalam prinsip pertama MRI, iaitu prinsip Pengabdian kepada Allah SWT. Hal ini sejajar dengan keperluan prinsip MRI yang mengutamakan hal-hal yang bersangkutan dengan sejarah, tamadun Melayu-Islam yang dilihat cuba disampaikan secara tersirat daripada sisi pandang persuratan Islam dengan menghubungkaitkan pemikiran pengarang. .
Kata kunci: model rasa insaniah, pengabdian kepada Allah, rasa takwa, tamadun Melayu, konsep insan.
Muat turun artikel penuh : 2289-5051_iJACH_Vol 13_Issue 6_Jun 2025