Keberkesanan Aktiviti Didik Hibur Dalam Bengkel Teater Untuk Kanak-Kanak Orang Asli Suku Kaum Temuan Di Selangor

Rime Nazren Abd Razak , Balkis Omar , Nawfal Mohd Zamri ,Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin , Mohammad Fahim Mohamad Ali

Published: 31-12-2024

ABSTRACT

Kajian ini bertujuan untuk melihat kecenderungan minat kanakkanak Orang Asli terhadap sistem pendidikan di arus perdana. Isu ketidaksesuaian bahan pengajaran, kaedah pengajaran dan tahap pengajaran menjadikan kanak-kanak Orang Asli tidak berminat untuk hadir ke sekolah. Perkara tersebut boleh memberi impak besar terhadap perkembangan masa depan masyarakat asal pribumi ini. Justeru itu, berdasarkan kajian Keberkesanan Aktiviti Didik Hibur dalam Bengkel Teater untuk Kanak-Kanak Orang Asli Suku Kaum Temuan di Selangor, telah menemui kaedah alternatif untuk menarik minat kanak-kanak Orang Asli ke sekolah. Elemen teater di dalam didik hibur seperti lakonan, nyanyian, tarian, bercerita dan permainan adalah aktiviti yang menyokong kepada pembangunan motivasi kanak-kanak Orang Asli untuk mendekati ilmu pendidikan. Seramai 16 peserta terdiri daripada kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun dipilih menjadi responden kajian. Manakala tumpuan lokasi kajian adalah di Perkampungan Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor yang mana majoritinya adalah kanak-kanak Orang Asli Suku Kaum Temuan. Dalam kajian ini, pendekatan secara kualitatif menerusi reka bentuk kajian tindakan digunakan untuk melihat perkembangan di fasa 1 dan fasa 2 kajian. Fasa 1 merujuk kepada perancangan bengkel teater dan fasa 2 adalah pelaksanaan bengkel teater. Kepentingan kajian tindakan berupaya dalam melihat tindak balas tingkah laku individu dan perubahan tingkah laku yang berlaku. Bagi pengumpulan data, instrumen kajian yang digunakan adalah secara pemerhatian tidak berstruktur, temu bual separa struktur, analisa kandungan jurnal peserta dan analisa kandungan bahan audio visual. Data yang dikumpul telah disaring secara tematik dengan menggunakan perisian Nvivo. Kesimpulannya, dapatan kajian ini telah menentukan tahap penerimaan dari segi sikap dan minat kanakkanak Orang Asli Suku Kaum Temuan di Perkampungan Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor terhadap kaedah pembelajaran secara bengkel. Justeru melalui kajian ini, pendekatan teater dan didik hibur berupaya meningkatkan motivasi kanak-kanak Orang Asli untuk menerima ilmu pendidikan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.


Kata kunci: Didik Hibur, Bengkel Teater, Kajian Tindakan, Orang Asli Suku Kaum Temuan.

VIEW FULL ARTICLE :

Muat turun: ARTIKEL 2-12