Lagu Melayu Asli: Lenggok Asas dan Latihan Pemanasan Suara Khusus

Nor Azura Abu Bakar

Published : 29-12-2025

DOI : https://doi.org/10.62312/asw.ijach.14.3.2025

Abstrak :

Lagu Melayu asli merupakan salah satu kesenian nyanyian tradisional Melayu yang kaya dengan nilai estetika serta keunikan hiasan vokalnya yang dikenali sebagai lenggok. Kajian ini bertujuan untuk membangunkan satu panduan sistematik bagi penguasaan lenggok asas dan latihan pemanasan suara khusus yang boleh dimanfaatkan oleh penyanyi yang ingin mendalami seni nyanyian Lagu Melayu asli. Keperluan kajian ini timbul daripada kelemahan kaedah pembelajaran konvensional yang berasaskan imitasi dan penghafalan semata-mata, sekali gus menyukarkan individu yang kurang kemahiran berlenggok untuk menguasai asas teknik nyanyian Lagu Melayu asli secara berkesan. Kajian ini merumuskan pendekatan baharu dalam bentuk dokumentasi formal yang boleh dijadikan rujukan kepada pendidik dan pelajar muzik tradisional. Metodologi yang digunakan merangkumi kajian perpustakaan, temu bual separa berstruktur, pemerhatian turut serta serta penglibatan langsung dalam aktiviti persembahan dan pengajaran. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pendekatan sistematik yang dicadangkan, melalui notasi lenggok asas dan latihan pemanasan suara yang disusun khas, dapat meningkatkan pemahaman teknik nyanyian Lagu Melayu Asli dalam kalangan pelajar baharu. Dokumentasi yang terhasil daripada kajian ini memberi sumbangan bermakna dalam pemeliharaan dan kesinambungan warisan seni nyanyian tradisional Melayu. Kajian ini diharap dapat menyokong pembangunan pedagogi muzik tradisional secara lebih inklusif dan progresif, sejajar dengan keperluan pendidikan seni kontemporari.

Kata Kunci: Lagu Melayu asli; lenggok asas; latihan pemanasan suara; notasi vokal; teknik nyanyian tradisional

Muat turun artikel penuh : 2289-5051_iJACH_Vol 14_Issue 3_Dec 2025