Engku Nor Zalifah Engku Abdul Rased
Published : 30-6-2025
DOI : https://doi.org/10.62312/asw.ijach.13.4.2025
Abstrak
Kajian ini meneliti simbolisme dalam naskhah Seni karya Yasmina Reza, dengan memberi tumpuan kepada Lukisan Putih, Perbezaan Pandangan sebagai objek perbincangan utama. Karya Reza yang terkenal dengan pendekatan minimalis dan naratif yang menggugat kepercayaan sosial, memperlihatkan bagaimana sebuah lukisan putih menjadi titik konflik antara tiga sahabat. Dengan menggunakan pendekatan semiotik dan hermeneutik, kajian ini menganalisis bagaimana simbolisme dalam lukisan putih mencerminkan ketegangan intelektual, nilai estetika, serta perubahan kuasa dalam hubungan persahabatan. Selain itu, perbezaan tafsiran terhadap lukisan ini turut menggambarkan pertentangan antara kepercayaan tradisional dan moden terhadap seni lukisan. Persoalan mendasar dalam penyelidikan ini adalah bagaimana seni lukisan difahami dan dihargai secara subjektif oleh individu berdasarkan latar belakang, pengalaman, dan nilai peribadi mereka. Lukisan putih dalam naskhah Seni karya Reza bukan sekadar objek seni tetapi menjadi metafora bagi persoalan yang lebih luas, apakah lukisan itu ditentukan oleh nilai intrinsiknya atau oleh konteks dan penerimaan sosialnya. Dengan meneliti dialog dan reaksi watak terhadap lukisan tersebut, penyelidikan ini turut meneroka konsep seni sebagai ruang pertembungan antara ekspresi peribadi dan pengaruh budaya yang lebih besar. Melalui kajian ini, diharapkan dapat ditemukan pemahaman yang lebih mendalam mengenai bagaimana simbolisme berfungsi sebagai alat komunikasi dalam seni teater kontemporari, serta bagaimana lukisan itu sendiri menjadi wacana yang sentiasa dipertikai dan dinegosiasi.
Kata kunci: Yasmina Reza, simbolisme, seni, semiotik, hermeneutik
Muat turun artikel penuh : 2289-5051_iJACH_Vol 13_Issue 4_Jun 2025